Filipina: Pengawal Presiden ‘disuntik vaksin yang diseludup’

0
124
DELFIN LORENZANA

MANILA – Setiausaha Pertahanan Filipina mendakwa pengawal Presiden Rodrigo Duterte disuntik dengan vaksin Covid-19 yang diseludup ke negara tersebut, namun mengatakan langkah tersebut adalah ‘wajar’.

Menurut Reuters, Delfin Lorenzana yang membuat dakwaan itu berkata, anggota Kumpulan Keselamatan Presiden (PSG) mendapatkan dos vaksin berkenaan tanpa kebenaran kerajaan dan mengambilnya tanpa pengetahuan beliau.

“Ya, (vaksin itu) diseludup kerana mereka tidak mempunyai kebenaran, hanya kerajaan yang boleh memberi kebenaran,” kata Lorenzana ketika ditanya mengenai isu tersebut.

Pelbagai pihak terutamanya golongan aktivis mempersoalkan tindakan pasukan khas itu sejak berita bahawa mereka telah menerima vaksin sejak September itu tersebar.

Setakat ini, pihak yang mengawal selia bahan perubatan di Filipina, iaitu Pentadbir Makanan dan Perubatan (FDA) belum meluluskan penggunaan sebarang vaksin Covid-19 di negara tersebut.

Lorenzana, bagaimanapun berkata, tindakan mereka dianggap wajar oleh kerana bidang tugas mereka.

“(Tindakan mereka) Wajar… bagi melindungi mereka dari dijangkiti (Covid-19) dan pada waktu yang sama membolehkan mereka menjalani tugas melindungi Presiden,” kata Lorenzana.

Semalam, komander PSG, Brigadier Jeneral Jesus Durante dalam temubual bersama rangkaian berita ANC dipetik sebagai berkata, beberapa anggotanya telah disuntik dengan vaksin dan maklumat itu hanya dimaklumkan kepada presiden kemudian.

Namun, Durante tidak menjelaskan bagaimana vaksin tersebut diperoleh, dan nama pembuat vaksin tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here