Gantung AP jika bersekongkol dengan kartel daging import haram

0
190
Gambar hiasan.

SERDANG – Kerajaan akan menggantung lesen pemegang Permit Import (AP) yang didapati bersekongkol dengan mana-mana kartel daging import haram. 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, buat masa ini kerajaan sedang melakukan siasatan sekiranya terdapat pemegang AP dan penjawat awam terlibat dalam operasi import haram itu.

“Tindakan selanjutnya akan diambil ini termasuk menggantung AP sekiranya terbukti bersalah,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani selepas merasmikan Persidangan Pertanian Digital Kebangsaan (DigAc) 2020 di sini hari ini.

Dr. Ronald berkata, isu penyeludupan daging import haram itu merupakan perkara serius dan perlu dibanteras segera.

Beliau menegaskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengaudit daging dan ayam yang akan dibawa masuk ke negara ini bagi memastikan ia berstatus halal.

Media hari ini melaporkan kartel mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan termasuk pegawai agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Sebelum ini, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here