Individu dari zon merah diminta jalani penilaian risiko

0
267
Dr. Nor Azimi Yunus Foto : TeganuKita

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta orang ramai yang bergerak masuk ke Terengganu khususnya dari zon merah untuk menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri bagi penilaian risiko Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, ia susulan kebenaran rentas daerah dan negeri yang bermula 7 Disember lalu.

Katanya, sebagai langkah kawalan, orang ramai diminta menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) atau Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah dengan melengkapkan borang deklarasi.

“Sejak 7 Disember kami mengesan ramai juga kontak rapat kepada kes positif atau kluster dari luar Terengganu. Juga kes positif dikesan yang bergerak masuk ke Terengganu.

“Kita menjangkakan peningkatan kes ekoran kebenaran ini dan negeri bersebelahan Terengganu juga menunjukkan peningkatan kes dan situasi ini merisaukan kita.

“Jadi kita mesti ambil langkah berjaga-jaga untuk ‘protect’ Terengganu yang situasi Covid-19 masih terkawal. Jika tidak, ini bakal mengundang kluster baharu di Terengganu,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook miliknya.

Dalam pada itu, beliau memuji sikap orang ramai dari zon merah yang terus ke Klinik Kesihatan untuk membuat saringan tanpa singgah di mana-mana perhentian.

“Mereka dikesan positif dan terus dimasukkan ke hospital. Sikap begini sangat baik dan patut dipuji kerana ia membantu mengelakkan penularan dalam komuniti dan patut dicontohi oleh pengembara lain,”ujarnya lagi.-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here