Jangan tuding jari kepada kakitangan hospital- CUEPACS

0
208
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya tindakan disiplin diambil terhadap kakitangan hospital yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 disifatkan tidak adil dan tidak mengambil kira situasi sebenar.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, pihaknya membantah cadangan itu kerana tidak mengambil kira konteks yang lebih meluas dan praktikal sebaliknya lebih berbentuk hukuman.

Sebelum sesuatu cadangan dibuat katanya, punca penularan wabak di hospital perlu diteliti sebaik-baiknya dan mengambil kira sejauh mana kakitangan hospital sudah ‘berjuang’ sejak awal penularan Covid-19.

“CUEPACS bersetuju sekiranya isu pematuhan SOP dalam kalangan petugas KKM (Kementerian Kesihatan) ditekankan untuk memastikan jangkitan Covid-19 di fasiliti kesihatan dapat dielakkan.

“Bagaimanapun, cadangan untuk mengenakan tindakan disiplin adalah tidak wajar memandangkan petugas kesihatan ini sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan terbaik sejak penularan wabak dikesan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Adnan Mat

Sebelum ini, seorang pakar kesihatan daripada sebuah universiti tempatan mencadangkan agar Kementerian Kesihatan (KKM) menguatkuasakan tindakan disiplin terhadap kakitangan hospital yang gagal mematuhi SOP bagi mencegah jangkitan Covid-19 di kawasan hospital.

Pakar kesihatan awam itu mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Jumaat lepas bahawa pihaknya merekodkan 1,771 kes Covid-19 dalam kalangan warga KKM.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, ada dalam kalangan petugas terbabit dijangkiti Covid-19 menerusi kontak dengan orang awam yang datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Justeru,  CUEPACS berharap semua pihak tidak menuding jari dengan meletakkan kesalahan kepada organisasi tertentu, sebaliknya bersama-sama berusaha membendung penularan Covid-19 .

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here