Jokowi tawar diri jadi individu pertama terima vaksin di Indonesia

0
106
Presiden Indonesia, Joko Widodo

JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo dengan sukarela menawarkan dirinya sebagai penerima pertama vaksin Covid-19 di negaranya.

Beliau berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik di laman Youtube Istana Negara, malam tadi.

Lebih dikenali dengan jolokan Jokowi, beliau turut berkata, vaksin berkenaan akan turut diedarkan secara percuma dalam kalangan rakyat nanti.

“Saya secara peribadi akan menjadi penerima pertama (vaksin ini) bagi meyakinkan penduduk bahawa vaksin yang digunakan adalah selamat.”

“Vaksin Covid-19 ini akan diberikan secara percuma kepada semua warga Indonesia,” kata Jokowi.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa hanya kakitangan kesihatan, warga tua dan individu tertentu sahaja yang akan menerima vaksin tersebut secara percuma.

“Selepas menerima maklum balas daripada penduduk dan selepas melakukan perkiraan semula mengenai tabung negara, saya dapat umumkan bahawa vaksin Covid-19 akan diberikan kepada warga negara ini secara percuma. Tiada bayaran dan yuran akan dikenakan.

“Justeru, kita mengarahkan semua anggota Kabinet, kementerian, agensi dan pemerintah daerah untuk mengutamakan vaksinasi dalam belanjawan 2021 mereka. Kita juga mengarahkan Menteri Kewangan mengutamakan dan memperuntukkan semula perbelanjaan lain bagi memastikan vaksin percuma ini sedia ditawarkan supaya tidak ada alasan bagi penduduk tidak menerima suntikan vaksin,” tambah Jokowi

Untuk rekod, Indonesia telah menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin buatan firma China, Sinovac Biotech pada 6 Disember lalu, dan akan menerima bahan mentah yang mencukupi bagi menghasilkan 15 juta dos lagi daripada firma yang sama hujung bulan nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here