Kakitangan Rapid Rail dikesan positif Covid-19

0
158
Stesen Bandaraya. Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan Rapid Rail yang bertugas di Stesen Bandaraya Transit Aliran Ringan (LRT) di sini disahkan positif Covid-19, Khamis lalu.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, petugas yang merupakan pegawai di stesen berkenaan kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

“Pegawai berkenaan didapati hadir bertugas kali terakhir pada 19 Disember lalu.

“Siasatan mendapati pegawai stesen berkenaan tidak mempunyai kontak dengan penumpang ketika bertugas,” menurut Prasarana.

Pengurusan Rapid Rail selaku operator perkhidmatan rangkaian LRT telah menjalankan kerja nyah cemar dan pembersihan di tempat kerja staf terbabit pada malam berkenaan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebagai langkah waspada, staf lain yang mempunyai kontak dengan pegawai stesen berkenaan turut diarahkan menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama selama 14 hari, mengikut prosedur operasi standard KKM,” katanya.

Sehubungan itu, Rapid Rail memberi jaminan bahawa perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya selamat seiring pematuhan SOP yang dikehendaki.

“Rapid Rail akan terus memantau dengan rapi perkembangan kes ini dan sentiasa bekerja rapat dengan pihak berkuasa khususnya KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak awal penularan pandemik ini pada awal tahun bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang dikendalikan Rapid Rail dan juga Rapid Bus sentiasa berkeadaan selamat serta selesa digunakan.

“Tren-tren untuk semua laluan sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak serta selepas operasi pada hari berkenaan.

“Kakitangan yang bertugas di semua stesen dan di dalam tren sentiasa mematuhi SOP dengan rapi khususnya pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan mengelakkan kontak dengan penumpang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here