Kartel daging: Jakim tidak tolak kemungkinan berlaku di Malaysia

0
441
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kegiatan penyeludupan bekalan daging import sejuk beku tidak halal yang diletakkan logo halal palsu di pasaran negara ini kemungkinan berlaku.

Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, ini kerana kes yang hampir sama pernah berlaku di Singapura sebelum ini.

“Situasi ini turut berlaku di negara lain contohnya di Singapura jadi tidak mustahil ia turut berlaku di negara ini,” katanya dalam siaran langsung Facebook Jakim bertajuk SOP Halal: Di mana silapnya.

Malah Sirajuddin berkata, disebabkan kes yang pernah berlaku itu, Indonesia tidak mempercayai sumber daging sejuk beku yang datang dari Singapura.

Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, proses membawa bekalan daging import ke Malaysia tidak dibuat sambil lewa.

Katanya, prosedur yang ketat telah ditetapkan dengan melawat sendiri ke loji penyembelihan di luar negara bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Kementerian Kesihatan.

Katanya, laporan audit kemudiannya perlu dikemukakan kepada pelbagai agensi berkaitan sebelum melalui proses perbincangan.

Sementara itu ditanya masih bolehkah umat Islam makan produk import tersebut, katanya, ia tiada masalah sekiranya pihak yang mengimport daging tersebut mendapat daripada sumber yang sah dan diperakukan halal oleh Jakim.

“Mana-mana pihak industri yang berkeyakinan bahawa produk mereka disahkan halal perlu tampil ke depan untuk mengembalikan keyakinan pengguna membabitkan bekalan daging import ini.

“Saya sendiri tidak boleh sebut produk ini kerana bimbang nanti ada yang kata saya dibayar untuk promosikan produk ini tetapi pengguna boleh layari laman web untuk mendapatkan pengesahan terus daripada pihak industri,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here