Kartel daging: Orang kanan kementerian sedar, tapi tiada tindakan diambil dari dulu

0
1503
Daging Segar – Gambar Hiasan

CYBERJAYA – Kewujudan kartel haram yang mengimport daging dan produk sejuk beku yang diragui statusnya bukan perkara baharu dan pernah didedahkan kepada beberapa orang kanan sebuah kementerian namun, tiada sebarang tindakan diambil.

Menurut satu sumber yang enggan namanya didedahkan, penglibatan kartel-kartel haram tersebut didedahkan sejak beberapa tahun lalu selepas menemui bukti kukuh terdapat ketirisan dalam industri tersebut.

“Bila isu ini meletup, kami pun terkejut sebab bukan pihak berkenaan yang bangkitkan, sebenarnya isu ini pernah didedahkan kira-kira empat tahun lalu kepada orang kanan di sebuah kementerian terlibat tetapi mereka buat tidak endah sahaja.

“Tak tahu mereka tak percaya atau macam mana, tetapi benda itu memang senyap terus.

“Sepatutnya bila cakap pada orang paling kanan dalam kementerian berkenaan mereka kenalah buat sesuatu tindakan tapi mereka diam saja, mungkin mereka tidak berminat,” dakwanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Menurut sumber itu lagi, pihaknya difahamkan ketirisan yang berlaku itu dibongkar oleh ‘orang dalam’ sendiri yang sudah tidak tahan melihat umat Islam di negara ini makan daging yang diragui statusnya.

“Saya cuba mencari siapakah yang membuat pendedahan ini, rupa-rupanya mereka yang mendedahkan kes ini ialah mereka yang telah mendapat kesedaran termasuk orang-orang kanan dalam kerajaan sendiri.

“Jadi selepas mereka sendiri turun siasat maka betullah pendedahan yang dibuat sebelum ini bahawa terdapat ketirisan yang berlaku.

“Tetapi apa yang berlaku sekarang masing-masing agensi yang terpalit dengan isu ini menafikan perkara berkenaan.

“Sekiranya tiada ketirisan, bagaimana kontena itu boleh terlepas? Tak mungkin ada ‘magic’, sudah pasti ada yang lepaskan dan siapakah yang menjaga kontena-kontena berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, sumber tersebut meminta agensi kerajaan yang terlibat dalam proses mengimport daging tersebut bertanggungjawab dan tidak lepas tangan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here