Kartel daging: Pas Johor mahu pihak berkuasa lebih sensitif

0
159
Rusman Kemin

JOHOR BAHRU – Pihak berkuasa kerajaan terutama yang berkaitan dengan pengimportan dan pembekalan daging sejuk beku perlu lebih sensitif dalam isu kartel daging tidak halal di negara ini.

Pas Johor dalam kenyataannya berkata, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kastam Diraja Malaysia, majlis agama negeri-negeri dan pihak berkuasa berkaitan perlu bekerjasama dalam menyelesaikan isu yang membelenggu umat Islam itu.

Ketua Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, pihaknya memandang serius perkara itu termasuk isu-isu seumpamanya yang telah berbangkit sebelum ini antaranya isu ayam di pasar raya yang tidak disembelih sempurna.

“Sudah ada banyak kes seperti isu ikan patin di Perak yang diternak dengan memberi makan bangkai khinzir dan isu penyimpanan daging halal dan haram dalam satu tempat.

“Begitu juga dengan kebanyakan dapur-dapur hotel di negara ini yang tidak patuh syariah dan pelbagai isu lain berkaitan makanan yang tidak patuh syariah,” katanya.

Sehubungan itu Pas Johor mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan kepada kerajaan dalam menangani isu kartel daging import tidak halal itu supaya ia dapat diselesaikan segera.

Pertama katanya, kerajaan perlu memperketatkan undang-undang melibatkan pengimportan bahan makanan.

Seterusnya beliau menggesa supaya tindakan pemeriksaan dikuatkuasakan ke atas premis-premis pemprosesan makanan selain membuat pembaharuan kepada logo halal bersesuaian dengan perkembangan semasa.

“Begitu juga bertindak pantas menangani isu-isu dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja manakala kelima manfaatkan sepenuhnya media kerajaan untuk mendidik masyarakat supaya peka dengan pengambilan makanan yang halal dan sihat.

“Kerajaan juga perlu mengenakan hukuman yang berat kepada kakitangan kerajaan yang terlibat sebagai dalang dalam hal ini,” katanya semalam.

Media baru-baru ini mendedahkan kewujudan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Terakhir katanya, kerajaan perlu berusaha menyediakan akses yang mesra dan mudah kepada rakyat untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here