[EKSKLUSIF] Kartel daging: Tiada langsung pengimport Muslim punca utama daging diragui bolos masuk

0
18676
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Ketiadaan langsung pengimport daging dan produk sejuk beku dalam kalangan kaum bumiputera Islam di negara ini menjadi antara faktor utama daging yang diragui status halal terlepas masuk ke negara ini menerusi penglibatan kartel daging haram.

Menurut sumber, sebelum ini terdapat sebuah syarikat bumiputera Islam yang menjadi satu-satunya pengimport produk sejuk beku itu di Malaysia, namun akhirnya syarikat tersebut terpaksa gulung tikar selepas disabotaj oleh pemain industri sama dalam kalangan bangsa lain.

“Sekarang tiada lagi pengimport Melayu di pasaran, jika peniaga Melayu yang berurusan dengan ejen di sana, kita akan tahu kilang mana yang ejen ini ambil bekalan dan tahu halal atau tidak produk tersebut.

“Tapi sekarang selepas syarikat berkenaan gulung tikar beberapa tahun lalu selepas ‘dikacau’ oleh pengimport bangsa lain, mereka tidak kisah jika produk tersebut diperoleh itu halal atau haram,” katanya dalam pendedahan eksklusif kepada Malakat Tribune hari ini.

Menurut sumber itu, antara taktik yang digunakan untuk mensabotaj syarikat milik Muslim itu ialah dengan menukar dokumen import daging kambing kepada produk babi.

“Apabila sampai ke pelabuhan terdapat satu dokumen yang dipanggil manifest, dokumen ini yang akan mengesahkan barang apa dalam kontena berkenaan.

“Jika ikutkan manifest asal memang kambing tetapi terdapat konspirasi untuk menukar kepada daging babi untuk mensabotaj syarikat pengimport Muslim berkenaan,” dakwanya.

Menurut sumber itu lagi, lebih mengecewakan apabila status halal sebuah syarikat terkenal di India yang membekalkan produk halal ke negara ini juga diragui statusnya.

“Saya pernah pergi ke syarikat terkenal ini di India dan lebih mengejutkan apabila saya dimaklumkan satu pusat penyembelihan yang membekalkan daging dan produk sejuk beku lain kepada syarikat ini terletak jauh di pedalaman.

“Dengan bantuan seorang rakan saya pergi ke pusat penyembelihan yang terletak beratus-ratus kilometer dari Mumbai, India untuk melihat sendiri. Sepanjang perjalanan ke sana di kiri kanan jalan saya dapat lihat pemandangan yang teruk disebabkan faktor kemiskinan di sana.

“Saya difahamkan pusat penyembelihan ini akan hantar produk berkenaan ke syarikat terkenal ini untuk dibungkus semula sebelum diedarkan di seluruh dunia termasuk Malaysia,” katanya.

Katanya, syarikat pembekal tersebut terpaksa mengupah pihak ketiga untuk melakukan proses penyembelihan berikutan tidak dapat menampung permintaan yang tinggi daripada pengguna di lebih 85 negara.

Dalam pada itu, katanya, ini berbeza sekiranya agensi kerajaan dari Malaysia membuat lawatan kerja ke sana, syarikat terkenal itu akan menjaga kualiti dan kebersihan produk mereka bermula daripada proses penyembelihan hingga pembungkusan.

Sementara itu, menurut sumber berkenaan lagi, mereka juga hairan dengan sikap agensi terlibat yang banyak meluluskan loji pemprosesan daripada syarikat sama di India berbanding negara lain seperti Australia.

“Walhal di Australia banyak lagi kilang atau loji pemprosesan berstatus halal tetapi tidak dipilih sedangkan Indonesia telah meluluskan puluhan loji ini dan mengimport produk sejuk beku dari Australia,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here