Kartel daging tidak halal bukti Islam perlu kuasai ekonomi

0
6222
Mohd Hazizi Ab. Rahman

CYBERJAYA – Pemalsuan status halal oleh kartel pengimport daging dari luar negara yang didedahkan baru-baru ini tidak akan berlaku sekiranya umat Islam menguasai rantaian pembekalan makanan termasuk dari luar negara.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (Berjasa), Mohd Hazizi Ab. Rahman sebaliknya berkata, penguasaan ekonomi oleh golongan bukan Islam yang tidak mempedulikan konsep halal telah mencemar sumber bekalan makanan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, insiden berkenaan berlaku kerana golongan berkenaan tidak mahu memahami dan mematuhi amalan penyembelihan mengikut kehendak Islam lalu sewenang-wenangnya memalsukan status halal bekalan makanan.

Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam menggunakan kuasa yang ada untuk menguasai sepenuhnya rantaian pembekalan makanan di negara ini.

“Rantaian pembekalan makanan negara mesti dikuasai sepenuhnya oleh muslim.

“Itu sebab penting guna kuasa untuk dapatkan kembali kuasa ekonomi, bukan sekadar guna kuasa untuk kuat kuasakan undang-undang perdagangan dan kepenggunaan.

“Islam ialah iman, sebelum undang-undang dan peraturan,” katanya memetik laporan Ismaweb.net hari ini.

Baru-baru ini, terbongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukrain, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging itu dengan logo halal lalu menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku, dan menjadikan sebuah gudang di Senai, Johor Bahru sebagai lokasi membuat label dan cap palsu yang kemudiannya ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Tindakan untuk menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here