Kemas kini alamat elak gagal terima surat tawaran haji

0
85

CYBERJAYA – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) diminta supaya mengemas kini alamat sekiranya terdapat sebarang perubahan pada maklumat berkenaan.

Pengarah Eksekutif (Haji) TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ia bagi mengelak kes surat tawaran haji tidak diterima kerana bertukar alamat.

Selain itu katanya, pendeposit juga diminta untuk mengemas kini nombor telefon bagi memudahkan dihubungi TH selain kemas kini penamaan waris.

“Surat tawaran tunai haji bagi tahun depan akan dikeluarkan selepas TH menerima ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan pelaksanaan ibadah haji.

“Kami masih belum menerima sebarang pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan perincian musim haji tahun 1442H/2021M.

“Bagi memudahkan proses kemas kini maklumat peribadi, pendeposit TH juga digalakkan untuk mendaftar aplikasi perkhidmatan THiJARI (www.thijari.com.my) untuk membolehkan bakal haji menyemak pendaftaran haji, status tawaran haji, jadual penerbangan serta pelbagai perkhidmatan lain seperti urusan pindahan simpanan, semakan baki dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, proses kemas kini boleh dilakukan di mana-mana pejabat cawangan TH, Pusat Perkhidmatan TH dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

“TH berharap semua pendeposit membuat kemas kini maklumat peribadi masing-masing dengan segera supaya sebarang penyaluran makluman penting dan terkini oleh TH sentiasa dapat diterima,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, pendeposit boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-62071919.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here