Kerajaan PN mungkin jatuh esok- Dr. Mahathir

0
419
Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh dalam sidang akhbar hari ini.

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan veteren UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa ahli-ahli Dewan Rakyat menolak bacaan ketiga Belanjawan 2021 esok.

Dalam sidang akhbar bersama hari ini, kedua-kedua tokoh politik berkenaan berkata, dengan penolakan Belanjawan 2021 itu, ia secara tidak langsung membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang sokongan.

Dr. Mahathir berkata, ahli Parlimen perlu memikirkan kepentingan rakyat yang melebihi kepentingan sendiri atau jawatan kerana ketika ini dakwanya rakyat sudah cukup marah kepada kerajaan yang gagal memacu negara.

Dr. Mahathir yang juga merupakan Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau dan Tengku Razaleigh mengharapkan agar kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin ditolak dan diganti dengan kerajaan yang lebih kukuh demi masa depan negara.

“Ada kemungkinan esok (kerajaan PN jatuh) apabila mereka (Ahli-ahli Dewan Rakyat) mengundi untuk bacaan kali ketiga Belanjawan 2021, maka ada kemungkinan kerajaan akan jatuh.

“Saya harap mereka yang dalam Dewan Rakyat dapat berhenti memikirkan tentang diri mereka semata-mata, tetapi mula memikirkan tentang negara.

“Kita lihat kerajaan ini tidak mempunyai motivasi untuk membantu rakyat, tetapi hanya memikirkan apa yang mereka dapat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, beliau bersama Tengku Razaleigh mahukan negara berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara yang disegani dan seterusnya memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

“Kami berbincang untuk mencari jalan supaya negara kita kembali menjadi negara maju semula. Kita sedar waktu ini negara kita hadapi banyak masalah, sistem kerajaan pun tak berjalan dengan baik.

“Kerajaan PN hanya mempunyai kelebihan dua undi sahaja. Ketika ini semua ahli politik di Malaysia ini hanya dengan politik sahaja, untuk jamin kedudukan mereka.

“Jadi, kami berpendapat supaya dasar memajukan negara diperkenalkan bukan untuk diri sendiri dan parti. Kami bincang untuk kerjasama, saya ada sedikit pengalaman dan begitu juga Tengku Razaleigh yang boleh disumbang supaya negara kembali maju,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here