Kerajaan setuju tubuh RCI isu kartel daging

0
264
Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju dan menyokong penuh cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat sindiket pengimportan daging yang menyalahgunakan logo halal dipercayai dikuasai oleh kartel di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, kerajaan memandang serius isu kartel daging haram yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan Jawatankuasa Perundangan Khas Halal juga telah ditubuhkan.

“Saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang mencadangkan untuk menubuhkan RCI. Kita menyokong penubuhan tersebut kerana dapat mendedahkan siapa sahaja yang bertanggungjawab kepada permasalahan ummah hari ini.

“Ada yang mengatakan kita cuba melindungi seseorang atau VIP, pada kita, kerajaan telus dan prihatin. (Mereka) yang salah tetap akan salah, yang benar tetap benar,” katanya katanya ketika menggulung perbahasan usul berkait isu kartel daging haram di Dewan Negara hari ini.

Setakat ini, Rasol berkata sebanyak 53 negara dibenarkan mengimport daging beku ke negara ini termasuk dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Asmak Husin mengemukakan usul mengikut Perkara 17 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara berhubung isu daging kartel haram yang menggunakan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara salah dan berniat menipu.

Menerusi usul tersebut, Asmak berpandangan isu tersebut melibatkan kepentingan orang ramai; melibatkan nama baik kerajaan khususnya Jakim dan perlu disegerakan kerana rakyat semakin marah dan khuatir dengan kes itu.

Sementara itu, Senator Sabani Mat dan Senator Muhammad Zahid Md Arip menyokong usul tersebut dan memohon kerajaan untuk mempertimbangkan penubuhan RCI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here