Ku Nan didapati bersalah terima rasuah RM2 juta

0
225
Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Bagi kesalahan itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM2 juta.

Dalam penghakimannya, hakim memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap pertuduhan ke atas Ahli Parlimen Putrajaya itu.

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan  tidak menafikan dakwaan kemasukan wang berjumlah RM2 juta untuk dirinya daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang mana Ku Nan mempunyai kepentingan di dalam syarikat berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Dalam penghakiman itu, Mohamed Zaini berkata, dakwaan tertuduh yang mengatakan wang berkenaan digunakan untuk dua pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar meragukan kerana Ku Nan tidak menjawat jawatan sebagai Bendahari UMNO.

“Tertuduh ketika itu selaku Setiausaha UMNO malah bukan ahli Parlimen kawasan bagi dua PRK berkenaan.

“Maka timbul keraguan, apabila wang berkenaan dikatakan digunakan untuk PRK tersebut,” katanya.

Ku Nan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Ku Nan, 70, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta.

“Tidak diragukan lagi bahawa RM2 juta tetap ada di dalam akaun Tadmansori untuk kepentingan tertuduh dan tidak membayar perbelanjaan dua pilihan raya kecil itu. Dia telah menggunakan Tadmansori sebagai pelindung kepada perbuatan jenayahnya,” kata hakim.

“Saya dapati tertuduh bersalah dan menyabitkannya bersalah atas pertuduhan berkenaan,” kata seperti dilapor Bernama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here