Macau Scam: Kerani diperdaya lebih setengah juta

0
149
Gambar hiasan

TAMPIN – Hanya kerana mempercayai pemanggil yang mengetahui nama dan nombor kad pengenalan dengan tepat, seorang kerani sebuah syarikat swasta diperdaya RM693,900.

Mangsa dipercayai ditipu oleh sindiket Macau Scam yang mendakwa wanita berusia 59 tahun itu terlibat dalam pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenaya Komersial Negeri Sembilan, Supt Aibee Abd. Ghani berkata, kejadian berlaku apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang tidak dikenali pada 27 Oktober lalu.

“Suspek memberitahu akan mengeluarkan waran tangkap ke atas mangsa kerana terlibat dalam pengubahan wang haram lalu menyambungkan panggilan itu kepada dua lelaki yang mengaku anggota polis dikenali sebagai Sarjan Tan dan ASP Yong.

“Semasa perbualan, kedua-dua suspek bertindak menakut-nakutkan mangsa dan meminta wanita itu membacakan nama pengguna dan kata laluan akaun Public Bank miliknya bagi tujuan mengeluarkan kesemua wang mangsa berjumlah RM363,900,” katanya dalam kenyataan dilaporkan Bernama, hari ini.

Aibee berkata mereka juga meminta mangsa membayar wang jaminan berjumlah RM260,000 dan bayaran guaman sebanyak RM70,000.

Akibat takut dan panik, mangsa mengikut arahan itu dan bertindak memindahkan kesemua wang yang diminta ke dalam akaun Public Bank milik suspek selain turut diminta hadir ke Mahkamah Tampin, semalam untuk bicara kes, katanya.

Aibee berkata selepas kejadian dihubungi itu, mangsa menerima transaksi pengeluaran wang setiap hari daripada akaun bank miliknya kepada beberapa akaun tidak diketahui serta dimaklumkan pindahan wang itu bagi tujuan audit dan akan dikembalikan semula.

Katanya, semalam, mangsa sekali lagi dihubungi lelaki yang menyamar sebagai polis dikenali sebagai DSP Chew dengan meminta wang jaminan tambahan sebanyak RM135,000 namun mangsa tidak dapat membuat bayaran berkenaan kerana kehabisan wang.

“Mangsa yang menyedari diperdaya terus membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya jika menerima panggilan sedemikian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here