Maritim Malaysia tahan lima nelayan Indonesia di Pulau Pinang

0
135
Bot nelayan Indonesia yang ditahan dekat perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang. Foto FACEBOOK MARITIM MALAYSIA

GEORGETOWN – Sebanyak lima kru termasuk tekong sebuah bot nelayan Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) setelah menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara, Jumaat lalu.

Kesemua nelayan berumur dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun itu ditahan oleh kapal KM PERWIRA yang melaksanakan Op Benteng.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak  Mohamed berkata, bot nelayan itu ditahan pada kedudukan 52 batu nautika barat daya Pulau Kendi, Pulau Pinang kira-kira pukul 2.37 petang.

Menurutnya, ketika kejadian, bot nelayan itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara oleh KM PERWIRA semasa melaksanakan rondaan rutin OP Benteng Laut dan Op Pertiwi.

“Kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak memiliki sebarang kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia,” kata Abd Razak dalam satu kenyataan hari ini.

Lima kru nelayan Indonesia yang ditahan oleh Maritim Malaysia. Foto FACEBOOK MARITIM MALAYSIA

Abd Razak berkata, bot dan tahanan itu dibawa ke Maritim Negeri Pulau Pinang bagi proses saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. 

Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Sek 15 (1)(a)  Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. 

“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun, manakala kesemua awak-awak boleh dikenakan denda  tidak melebihi RM 100 ribu setiap  atau  penjara tidak melebihi 2 tahun,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here