Masih ada yang degil langgar SOP

0
189

CYBERJAYA- Masih ada yang degil dan langgar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.

Masalah berkenaan terbukti apabila sebanyak 182 individu  telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melanggar SOP semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 181 individu dikompaun manakala seorang individu pula direman.

Katanya, antara kesalahan adalah membabitkan 66 kes gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, 60 kes tidak memakai pelitup muka, 46 kes gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan 10 kes bagi lain-lain.

“Pasukan operasi pematuhan yang diketuai PDRM membuat 49,592 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPB.

“Sebanyak 2,849 Pasukan Pematuhan membabitkan 12,766 anggota membuat pemantauan di 5,179 pasar raya, 4,667 restoran serta 1,285 penjaja, 1,249 kilang, 3,539 bank dan 620 pejabat kerajaan.

“Turut dipantau 1,064 terminal pengangkutan darat, 266 terminal pengangkutan air serta 154 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, menerusi Op Benteng, Ismail Sabri berkata, 31 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) ditahan selain tiga kenderaan darat dan sebuah bot dirampas.

Orang ramai diminta menghubungi talian National Task Force (NTF) di 011 6251 1223 untuk menyalurkan maklumat berkaitan warga asing dan jenayah rentas sempadan.

Mengulas berhubung kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga 7 Disember lalu, 83,737 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here