Nama Stadium Mini Ffira Mikah diarahkan ditukar

0
653
Penjenamaan semula Stadium Mini Kuala Nerang kepada Stadium Mini Ffira Mikah telah mencetuskan kontroversi apabila dikaitkan dengan nama Pegawai Daerah Padang Terap

CYBERJAYA – Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) diarahkan untuk menukar nama Stadium Mini Ffira Mikah di Padang Terap yang telah mencetuskan kontroversi kerana dikaitkan dengan nama Pegawai Daerahnya, Hakim Ariff Md Noor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, penjenamaan semula nama stadium tersebut tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

“Apabila saya dapat tahu, saya sendiri hairan dengan nama itu, kita tidak dimaklumkan mengenai cadangan nama terbabit sebelum ini kerana ia di bawah bidang kuasa MDPT.

“Sepatutnya kita tidak perlu letak nama sebegitu kerana ia mengundang pelbagai persepsi masyarakat, bagaimanapun saya anggap perkara ini selesai kerana difahamkan nama stadium itu akan ditukar selepas ini,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, MDPT juga sudah dinasihat memilih nama tokoh sejarah di daerah itu atau nama individu yang pernah berjasa bagi menggantikan nama Ffira Mikah.

Semalam, tular di media sosial mengenai nama pelik Stadium Mini Ffira Mikah di Kuala Nerang yang tidak membawa sebarang maksud atau dikaitkan dengan tokoh bersejarah di Kedah.

Bagaimanapun, orang ramai mengaitkan nama tersebut mempunyai kaitan dengan Pegawai Daerah Padang Terap selepas ejaan nama itu diterbalikkan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here