Nama Tun Rahah dicadangkan ganti nama Jalan Eaton

0
342
Jalan Eaton terletak bersebelahan dengan Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang di Kuala Lumpur

CYBERJAYA – Nama Jalan Eaton yang terletaknya kediaman Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah akan dicadangkan untuk ditukarkan kepada nama tokoh negara itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, cadangan tersebut akan dibawanya ke peringkat atasan supaya nama balu kepada Perdana Menteri kedua, Tun Razak itu diabadikan pada nama jalan tersebut.

“Saya akan mencadangkan Jalan Eaton di mana terletaknya kediaman Almarhumah, mungkin boleh kita namakan sebagai Jalan Tun Hajah Rahah,” katanya dalam satu ciapan menerusi laman Twitter miliknya.

Allahyarhamah Tun Rahah menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu selepas beberapa hari menerima rawatan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarhamah yang diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negara selamat dikebumikan semalam di Lingkaran Makam Pahlawan di Masjid Negara sebagai mengiktiraf jasa Allahyarhamah kepada negara.

Jalan Eaton yang terletak berhampiran KLCC berjiran dengan Jalan Tun Razak yang mana nama tersebut diambil daripada Perdana Menteri Malaysia kedua yang juga suami kepada Allahyarhamah Tun Rahah.

Bagaimanapun, siapakah Eaton di sebalik nama Jalan Eaton tidak dapat dipastikan secara tepat.

Sejarah mengenai hubung kait nama Eaton dan Malaysia hanya terdapat dalam laman web Australian War Memorial apabila terdapat seorang askar berpangkat Leftenan iaitu R.W Eaton pernah terlibat dalam Peperangan Gemencheh.

Peperangan Gemencheh diingati kerana berlakunya pertembungan antara Batalion tentera Australia dan Jepun sehingga mengorbankan banyak nyawa.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here