Panglima ATM sahkan portal diserang penggodam

0
287
Affendi Buang

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengesahkan hari ini mengesahkan menerima serangan siber namun tidak menjejaskan rangkaian data miliknya.

Affendi berkata, serangan penggodam itu dikesan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM.

Beliau berkata, serangan itu hanya melibatkan bahagian tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi, menyebabkan tiada operasi portal sebenar yang terjejas.

“Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah, seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.

“ATM juga menyedari wujudnya cubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat yang dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Portal web ATM semalam mempamerkan gambar tidak senonoh dipercayai digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Affendi menegaskan aspek keselamatan siber ATM sentiasa bersiap sedia bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat dikesan awal seterusnya ditangani sebaiknya.

“ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa, terutama melalui peranan BSEP dan CDOC, yang bukan hanya memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here