Parti Warisan mahu bertanding di Semenanjung

0
133
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

CYBERJAYA – Parti Warisan Sabah (Warisan) berhasrat untuk mengembangkan layar mereka dengan bertanding dalam pilihan raya umum di Semenanjung.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebagai parti yang berbilang agama dan bangsa serta memperjuangkan konsep erpaduan, Warisan sememangnya layak untuk mewakili setiap rakyat Malaysia bukan sahaja di Sabah tetapi juga Semenanjung.

“Langkah ini perlu kerana sudah tiba masanya pemimpin dari Sabah bukan hanya mengikut telunjuk Persekutuan, sebaliknya menjadi kata pemutus dalam soal menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Halatuju baharu parti ini juga adalah bagi menunaikan permintaan kira-kira 300,000 rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung.

“Saya berada di Kuala Lumpur minggu lalu berjumpa dengan orang Sabah di sana, mereka cakap bela kami datuk, ramai orang Sabah bekerja di Semenanjung termasuk Johor,” katanya hari ini.

Menurut Shafie lagi, langkah itu juga bukan janggal kerana sebelum ini, dua parti tempatan Sabah iaitu PBS dan UPKO juga pernah bertanding di Semenanjung.

“Sudah hampir 60 tahun Sabah dan rakan Borneo (Sarawak) menjadi penentu kepada sumber asas ekonomi negara, justeru, tiba masanya untuk Sabah bukan sahaja terlibat dalam rundingan, tetapi pemimpin dari Sabah juga perlu menjadi kata pemutus.

“Di Semenanjung, terdapat lebih 300,000 rakyat Sabah yang bekerja di sana, mereka tentunya mahukan sebuah parti yang memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam proses pembangunan negara,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here