Pelan pemulihan Felda dijangka beri kesan positif 2023

0
162

Felda yang kini berdepan dengan beban hutang yang tinggi.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Wahid Omar dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan Felda yang diwujudkan sebagai langkah pemulihan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Langkah yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed di Dewan Rakyat hari ini itu dijangka memberi kesan kepada Felda dalam masa tiga tahun lagi.

Mustapa berkata, Abdul Wahid diberi tanggungjawab untuk memantau pelaksanaan serta petunjuk prestasi utama agensi berkenaan agar mencapai tahap sepatutnya.

“Ini akan memastikan Felda mencapai kejayaan seperti syarikat-syarikat perladangan utama yang lain dan berada di landasan yang lebih teguh bagi melunaskan tanggungjawabnya sebagai agensi yang membela nasib lebih 100,000 keluarga peneroka tanpa kebergantungan kepada kerajaan,” katanya

Mustapa berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang bertanyakan pelan pemulihan Felda.

Mustapa Mohamed

“Model Baharu Felda telah dirangka berteraskan penambahbaikan tadbir urus, operasi ladang yang cekap, warga peneroka, pendidikan dan penyelidikan dan pembangunan dan penggunaan teknologi serta keberkatan bagi memastikan Felda berada di tahap yang lebih mandiri dan lestari,” katanya.

Menurut Mustapa, Felda mula berhadapan dengan masalah kewangan sejak 2013 apabila menghadapi kerugian dan pendapatan sebelum cukai yang semakin merosot.

Beliau berkata, pada September tahun ini, Felda telah memaklumkan kepada kerajaan bahawa ia tidak mampu membayar balik beberapa hutangnya dan mempunyai masalah kecairan sebanyak RM1.3 bilion.

Katanya, hutang peneroka yang tinggi serta kadar kutipan hutang yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kedudukan kewangan Felda.

“Bagi memastikan Felda mencapai kemampanan kewangan dan kelestarian, Jemaah Menteri pada 14 Oktober 2020 telah meluluskan pelan pemulihan Felda,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here