Pembela mahu Agong campur tangan isu ceroboh tanah di Pahang

0
277
Ustaz Masridzi Sat

CYBERJAYA – Pertubuhan-pertubuhan pembela Islam (Pembela) memohon campur tangan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam isu pencerobohan tanah di Raub dan seluruh negeri Pahang.

Naib Pengerusi Pembela, Ustaz Masridzi Sat berkata, salah satu daripada usaha penting yang perlu dilakukan ketika ini adalah menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) yang akan memantau dan menyiasat isu berkenaan secara menyeluruh, adil dan saksama.

“Suruhanjaya ini amat penting dan kita mohon perkenan daripada Seri Paduka Baginda untuk melantik mereka yang betul-betul berkecuali demi mengembalikan hak dan integriti pihak berkuasa yang telah lama tercalar kerana penyelewengan kuasa.

“Isu ini juga sudah diketahui umum oleh seluruh rakyat negara ini. Kita tidak dapat lagi menutup bangkai gajah,’’ katanya selepas Penyerahan Memorandum Ke Istana Negara Berhubung Penubuhan RCI Isu Pencerobohan Tanah di Pahang di pekarangan Istana Negara, pagi ini.

Hadir sama Ayahanda Rani Kulup, Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera dan wakil-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam. 

Sehubungan itu, Masridzi memohon Yang Di-Pertuan Agong mencemar duli memainkan peranan dalam menegakkan keadilan supaya pelaku kesalahan jenayah ini diambil tindakan segera.

Katanya, rakyat ingin melihat apakah tindakan yang akan dikenakan kepada penceroboh dan apa akan jadi kepada tanah-tanah yang telah diceroboh.

 “Dan yang lebih penting juga kita harap tanah-tanah ini tidak diserahkan semula kepada pihak ketiga yang juga dari ‘kartel’ kerana itu tidak akan menyelesaikan masalah.

“Jangan tangkap pencuri dan serah kepada pencuri, sebaliknya beri kepada pihak yang memerlukan , berjasa seperti veteran tentera dan pihak tahfiz.

“Jangan juga tanah itu diserahkan kepada puak-puak yang pernah menentang perjuangan kemerdekaan kita dahulu,’’ katanya.

Masridzi juga menggesa Menteri Besar Pahang supaya melakukan pemutihan supaya kegiatan pencerobohan itu dapat dihentikan dan mendesak supaya pihak berkuasa tempatan bertindak lebih tegas dan tidak lagi mempamerkan kelemahan penguat kuasaan.

“Kita minta pihak kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan, tolonglah jangan terus bersikap lunak melayani kumpulan penceroboh ini. 

“Tolong bertanggungjawab dengan kecuaian dan kegagalan mengawal penceroboh tanah di Raub dan seluruh negeri Pahang selama ini.

“Bertanggungjawablah, mengakui kelemahan yang wujud dan memperbaiki segera kelemahan yang ada,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria menyatakan kekecewaan apabila pihak yang didapati bersalah menceroboh tanah-tanah di Raub seolah-olah dilepas tanpa sebarang tindakan.

“Yang kita tahu mereka hanya diarah meninggalkan tanah yang diceroboh. Takkan tiada tindakan?

Janganlah biarkan rakyat peribumi termasuk veteran pasukan keselamatan, NGO-NGO Islam, alim ulama dan sebagainya berasa terhina dan dihina di tanah air mereka sendiri akibat daripada kes begini,” katanya.

Tindakan undang-undang ke atas penceroboh tanah-tanah kerajaan ini perlu diambil selaras dengan peruntukkan di dalam Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965.

Tindakan yang sama juga perlu diambil ke atas pentadbir-pentadbir awam yang bersubahat di mana selain daripada Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965, undang-undang lain yang bersangkutan dengan penyalahgunaan kuasa seperti Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Rasuah juga boleh diambil.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan, kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here