Penceroboh tanah di Raub perlu dihukum duduki tanah secara haram

0
349
Aminudin Yahaya

CYBERJAYA – Kerajaan negeri Pahang digesa supaya penceroboh hutan di Raub, Pahang untuk menanam durian Musang King dibawa ke muka pengadilan dan hak-hak warga negeri itu dikembalikan.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, penceroboh-penceroboh tanah itu perlu dihukum di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan (Pencerobohan Jenayah) kerana menceroboh hartamilik dan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

Katanya, ini kerana mereka menduduki tanah secara haram di tanah kerajaan yang membolehkan mereka didenda hingga ratusan ribu ringgit dan penjara.

“Keputusan di mahkamah semalam itu adalah keputusan di mana pihak penceroboh mencabar notis pengosongan tanah oleh pihak berkuasa untuk keluar dari tanah tersebut dan bukannya bagi menghukum penceroboh-penceroboh tersebut pun.

“Kita juga menuntut agar kesemua penceroboh ini membayar segala kerugian yang ditanggung oleh kerajaan negeri yang sepatutnya menerima hasil cukai selama lebih 40 tahun yang mencecah jutaan ringgit.

“Ini duit rakyat yang sepatutnya dibelanjakan untuk kesejahteraan semua, termasuk pendidikan, kesihatan, membantu orang susah dan sebagainya,” katanya hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King itu atas dua sebab iaitu notis pengosongan yang dikeluarkan oleh pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

Pada masa sama, mahkamah juga mendapati pekebun terlibat adalah penceroboh.

Dalam pada itu, Aminudin berkata, pihaknya
juga akan mengusahakan pelbagai cara agar ditubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat siri-siri pencerobohan tanah yang lain di seluruh negeri Pahang

Katanya, ia perlu supaya keadilan dapat ditegakkan, kekayaan negeri yang dikaut dapat dikembalikan dan akhirnya tidak mengkayakan hanya individu-individu tertentu secara tidak adil dan tidak sah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here