Perdana Menteri akan jadi antara terawal terima vaksin Covid-19 di Malaysia

0
111
Vaksin Covid-19 dijangka tiba di Malaysia pada awal tahun hadapan

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bahawa beliau akan menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 sebaik ia tiba di Malaysia pada awal tahun hadapan.

Perdana Menteri berkata, ia bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin Covid-19 diperoleh itu adalah selamat dan berkesan.

“Ini akan diikuti dengan petugas barisan hadapan, sebelum diberikan kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit saluran pernafasan kronik,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa Malaysia telah menandatangani perjanjian bersama COVAX, Pfizer dan Astra Zeneca dan akan memuktamadkan tiga lagi perjanjian bersama Sinovac, Cansino dan Gamaleya.

Katanya, setakat ini, kesemua perjanjian ini akan memberikan Malaysia akses vaksin Covid-19 bagi 83 peratus populasi negara atau 26.5 juta orang dengan kos sebanyak RM2.05 bilion.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengajak semua pihak bersama-sama menghayati dan membudayakan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian walaupun selepas menerima bekalan dan suntikan vaksin.

“Kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana virus ini telah pun berada di dalam komuniti.

“Patuhi SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan dan amalkan kebiasaan mencuci tangan menggunakan sabun dengan lebih kerap atau gunakan pencuci tangan (hand sanitizer) jika tiada punca air berdekatan, pakai pelitup muka dengan betul ketika berada di tempat awam dan jaga jarak fizikal dengan orang di sekeliling.

“Insya-Allah, kita mampu menghadapi cabaran ini bersama,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here