Peri kemanusiaan entah ke mana

0
136
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Hanya kerana bahagian depan rumah dicemari najis kucing, seorang wanita sanggup memukul sehingga mati dan mencederakan seekor lagi kucing di sebuah pangsapuri di Pintas Kalui 1, Seberang Jaya di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, suspek yang berusia 51 tahun itu dilihat oleh jirannya memukul sehingga menyebabkan kematian salah seekor kucing yang sedang bunting. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, lelaki yang merupakan saksi kejadian telah tampil membuat aduan dan laporan.

“Menurut pengadu, suspek telah memukul dua ekor kucing yang sedang diberi makan oleh rakan pengadu dengan sebatang besi yang diambil dari dalam sebuah kereta.

“Akibat kejadian itu, salah seekor kucing tersebut yang bunting mati, manakala seekor anak kucing luka pada mulut,” katanya memetik laporan Kosmo Online hari ini.

Shafee berkata, saksi itu kemudiannya menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum kucing tersebut diambil dan dibawa ke ibu pejabat JPV di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam di sini.

“Polis telah menahan suspek yang bekerja sebagai seorang broker itu dan soal-siasat mendapati dia tiada sebarang rekod lampau,” katanya lagi.

Shafee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here