Perkahwinan silang tidak dibenarkan tapi jangan buat tanggapan

0
641
Perkahwinan Illi Najwa, 27, dengan pasangannya, Manpreet Singh Pawar mencetuskan kontroversi apabila majlis perkahwinan dikatakan berlangsung dalam adat agama lain. – Gambar Media Sosial.

CYBERJAYA – Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika berdepan dengan isu berkaitan status agama dan tidak membuat tanggapan tanpa maklumat yang sah.

Kenyataan itu dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung perkahwinan seorang wanita Malaysia dengan kapten pasukan hoki negara India.

Beliau berkata, persoalan mengenai status agama wanita berkenaan dan pasangannya hanya diketahui oleh ahli keluarganya, sehubungan itu orang ramai tidak boleh membuat sebarang tanggapan.

“Informasi yang diperolehi melalui tangkap layar rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertier yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Harapan saya adalah semoga kita dapat bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berautoriti iaitu pihak berkuasa agama negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Baru-baru ini perkahwinan Illi Najwa, 27, dengan pasangannya, Manpreet Singh Pawar mencetuskan kontroversi apabila majlis perkahwinan dilakukan mengikut ritual agama lain.

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Umat Islam dinasihatkan supaya menyerahkan isu perkahwinan pasangan ini kepada pihak berkuasa negeri. –Gambar Media Sosial.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu adalah beragama Islam justeru orang ramai tidak boleh menghukum seseorang sebagai murtad hanya berdasarkan khabar yang boleh dipastikan.

Menurutnya, rekod pengislaman seseorang terletak di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri dan perkara tersebut kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama negeri Johor.

Beliau memberitahu, rakyat Malaysia beragama Islam yang membuat perkahwinan di luar negara perlu melakukan permohonan perkahwinan kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut.

“Perkahwinan juga hendaklah didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia.

“Adapun perkahwinan silang agama tidak benarkan dalam perundangan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihak berkuasa masih menunggu laporan lengkap mengenai kes tersebut dari Jabatan Agama Islam Johor.

Menurutnya, maklumat awal yang diterima memaklumkan wanita itu masih beragama Islam dan tiada permohonan berkaitan pertukaran agama diterima.

Gadis Malaysia, Illi Najwa dengan pasangannya Manpreet Singh Pawar yang merupakan kapten pasukan hoki negara India. –Gambar Media Sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here