Perkhidmatan feri Pulau Pinang diteruskan

0
164


KUALA LUMPUR – Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar dengan bahagian pulau negeri itu akan diteruskan mengikut syarat pembiayaan kerajaan kepada Pelabuhan Pulau Pinang.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM30 juta kepada Pelabuhan Pulau Pinang bagi mengambil alih perkhidmatan feri.

“Saya mengesahkan peruntukan itu seperti yang diluluskan akan dibayar secara dua ansuran tahunan yang mana RM15 juta untuk 2021 akan dibayar pada 2021 sebagaimana diluluskan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021.

“Baki RM15 juta akan disediakan kerajaan. Kerajaan akan memastikan Pelabuhan Pulau Pinang disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik dan berwarisan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi penggulungan RUU Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) 2020.

Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan perkhidmatan feri Pulau Pinang akan dihentikan bermula 1 Januari depan dan digantikan dengan bot penumpang laju yang hanya membawa pejalan kaki serta penunggang basikal dan motosikal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here