Polis rampas bangkai harimau, gading bernilai setengah juta di Kelantan

0
233
Bangkai harimau belang yang dirampas polis dalam serbuan di Tanah Merah, Kelantan.

KOTA BHARU – Polis merampas bangkai seekor harimau belang dan seekor harimau kumbang beserta 10 gading gajah dianggarkan bernilai RM500,000 yang cuba diseludup ke pasaran gelap dari negara ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, rampasan dibuat di Kampung Bukit Tok Che Dol, Tanah Merah pada pukul 7.45 pagi hasil siasatan dan intipan anggota Cawangan Operasi Khas (D8) dan Jabatan Siasatan Jenayah Siasatan Khas (D9).

Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) melibatkan sembilan belas anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah.

Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai dalang sindiket pemburuan haram sejak lebih setahun lalu.

“Selepas menunggu selama empat jam ketika pemeriksaan dilakukan, sepasukan anggota polis yang memulakan tinjauan seawal 3 pagi tadi, didapati sebuah kereta Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand menuju ke sebuah stor.

“Suspek kemudian membuka pintu stor dan terus masuk ke dalam dan anggota yang membuat pemeriksaan menjumpai bangkai harimau belang serta harimau kumbang yang tersimpan di dalam peti sejuk beku tanpa organ dan juga kemaluan,” katanya memetik kenyataan Jabatan Perhilitan di sini, hari ini.

Bangkai harimau kumbang yang dirampas polis dalam serbuan di Tanah Merah, Kelantan.
10 gading gajah yang dirampas polis dalam serbuan di Tanah Merah, Kelantan.

Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang permit dan kebenaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia bagi menyimpan barang kes tersebut. 

Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. 

Suspek telah dibawa ke IPD Tanah Merah manakala kesemua barang kes dibawa ke IPK Kelantan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Daerah Jeli untuk tindakan selanjutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here