Raihanah Cold Storage didakwa di mahkamah, guna logo halal tanpa perakuan

0
2741
Pasangan suami isteri ini didakwa melakukan kedua kesalahan itu di premis syarikat di Taman Perniagaan Setia, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari, 1 Disember lalu.

JOHOR BAHRU – Sepasang pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menggunakan logo halal tanpa diperakui pada lori milik mereka pada awal Disember lalu.

Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan Raihanah Kassim, 42, yang juga pemilik Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua kesalahan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Dalam pertuduhan pertama, Rahman dan Raihanah yang juga suami isteri dan pemilik Raihanah Cold Storage Sdn Bhd itu didakwa menggunakan logo halal tanpa perakuan halal pihak berkuasa berwibawa pada sebuah lori jenama Isuzu.

Mereka secara bersama selaku pemilik Raihanah Enterprise juga didakwa menggunakan logo halal tanpa perakuan halal pihak berkuasa berwibawa pada sebuah lori jenama Mitsubishi.

Mereka didakwa melakukan kedua kesalahan itu di premis syarikat di Taman Perniagaan Setia, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari, 1 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (A) perintah yang sama.

Jika sabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda maksimum RM200,000 dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, didenda sehingga RM500,000.

Bagi pertuduhan kedua, Rahman dan Raihanah selaku pengarah syarikat Raihanah Enterprise secara bersama didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah lori model Mitsubishi di lokasi dan waktu yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (B) perintah yang sama dan dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, didenda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, T. Ashivinii memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi dan RM50,000 kerana kes logo halal itu mendapat liputan meluas media di samping dibincangkan di Parlimen.

Namun kedua-dua peguam mewakili pengarah berkenaan, Lau Kok Guan dan Noor Liana Hashim merayu agar jumlah itu dikurangkan memandangkan syarikat itu masih beroperasi dan mempunyai 20 pekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan suami isteri itu diikat jamin masing-masing sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 19 Januari ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here