Raja Muda Selangor berkenan terima dana Infaq YIDE

0
157
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bergambar bersama para penyumbang.


CYBERJAYA- Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mencemar duli menerima sumbangan aktiviti kebajikan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).


Sumbangan yang diterima daripada lima syarikat korporat dan agensi berkaitan kerajaan itu berlangsung dalam majlis ringkas di Istana Kayangan, Shah Alam, Selangor.


Lima syarikat korporat itu termasuk Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd yang menyumbang sebanyak RM150,000 bagi Sumbangan Peralatan Persekolahan bagi Sesi 2021 untuk semua 17 buah rumah anak yatim seliaan YIDE. 

Sebelum itu, CSR yang diwakili Pengarah Hal Ehwal Korporatnya, Rozita Ahmad turut menyumbang sebanyak RM1.3 Juta bagi pembinaan surau di Kompleks Anak Yatim Pulau Indah. 

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima sembah kurnia sumbangan barangan persekolahan.


Menurut Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah, empat syarikat lain yang menyumbang adalah Maybank Berhad (RM80,000) untuk Dua Mesin Dialisis yang akan digunakan di Pusat Dialisis MAIS seliaan YIDE.

 
“Pemodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menyumbang sebanyak RM10,000. Kumpulan Semesta Sdn Bhd menyumbang RM 30,000 untuk Dana Infaq Pembinaan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah dan syarikat korporat, Aiman Platinum Sdn Bhd menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi YIDE, Datuk Bakhtiar Husin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Salim Sain dan Prof. Dr. Azreen Syazril Adnan serta Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) YIDE, Dr. Ahmad Shahir Makhtar. 


Nur Mohd Razali berkata, secara keseluruhan, sumbangan pada hari ini ialah berjumlah RM300,000 dan pihak YIDE amat berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan.
“YIDE juga sangat mengalu-alukan sumbangan di peringkat korporat mahupun agensi berkaitan kerajaan untuk sama-sama menjayakan pembinaan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah dan segala bentuk inisiatif yang dianjurkan oleh YIDE.

“Pembinaan Kompleks Anak Yatim ini adalah usahasama dengan Central Spectrum Sdn Bhd (CCSB) dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) yang sehingga kini telah mengumpul sebanyak RM6.5 Juta dan masih memerlukan RM3.5 Juta,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sejak Ogos lalu, YIDE turut memperkenalkan beberapa inisiatif sumbangan yang baharu iaitu dengan menggunakan aplikasi Touch N Go e-wallet dan Aplikasi Shopee.
“YIDE mengajak kepada orang ramai, syarikat-syarikat korporat, agensi berkaitan kerajaan untuk bersama-sama dalam melakukan amal jariah dan memuliakan anak anak yatim dengan terus menyumbang melalui platform sumbangan terus ke akaun YIDE, Bank Islam, bernombor : 1223 40100 07330 atau melalui atas talian (online) Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/ , juga melalui Jom Pay (Biller Code: 81059 dan aplikasi Snap and Pay.
“Setiap sumbangan yang diberikan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi YIDE,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here