[VIDEO] Sebanyak 220 permohonan untuk buka Malakat Grocer diterima

0
482
Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan Syarikat CFGV (Malakat Grocer), Mohd. Fazli Rahim memberikan taklimat kepada kumpulan pertama usahawan Malakat Grocer di Malakat Mall hari ini.

CYBERJAYA – Pihak pengurusan Malakat Grocer menerima sebanyak 220 permohonan daripada mereka yang berminat untuk membuka pasar raya seumpama itu di seluruh negara.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan Syarikat CFGV (Malakat Grocer), Mohd. Fazli Rahim berkata, pihaknya kini sedang membuat pemilihan bagi menentukan siapa yang layak.

Pejuang Malakat Grocer mula dipanggil masuk gelanggang

Beliau berkata, pada hari ini sebanyak tujuh pemohon telah dipanggil untuk sesi taklimat bagi kumpulan pertama iaitu enam pemohon dari sekitar Lembah Klang dan seorang dari Melaka.

“Pada hari ini, kita memanggil kumpulan pertama sebanyak tujuh orang pemohon. Perbincangan berlangsung secara santai dengan kita menerangkan proses pembukaan Malakat Grocer.

“Mereka (bakal usahawan Malakat Grocer) banyak bertanya tentang operasi serta penentuan lokasi strategik bagi membuka Malakat Grocer selain tempoh pembiayaan,” katanya.

Menurut Mohd. Fazli, terdapat tiga ‘milestone’ bagi usahawan Malakat Grocer iaitu milestone pertama (Januari hingga Mac), milestone kedua (April hingga Ogos) dan milestone ketiga (September hingga Disember).

“Milestone pertama melibatkan surat tawaran serta komitmen RM50,000, milestone kedua melibatkan kawasan operasi dan komitmen RM100,000 serta menandatangani perjanjian.

“Milestone ketiga pula ialah melibatkan pelbagai proses termasuk pemasaran, renovasi kedai, latihan para pekerja, pemilikan lesen operasi dan pembukaan kedai,” katanya.

Selain itu, pada tahun hadapan pihaknya menyasarkan untuk membuka 100 Malakat Grocer di seluruh negara dan 1,000 pasar raya seumpama itu dalam masa 10 tahun akan datang.

“Visi Malakat Grocer berlainan dengan para pesaing kita seperti Speedmart dan juga KK Mart. Mereka lebih kepada francais dan kita lebih kepada pemilikan perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta, Khairul Anwar Mohamed Mustaffa berkata, beliau ingin mencuba sesuatu yang baharu dalam hidupnya dengan menjadi usahawan Malakat Grocer.

Khairul Anwar berkata, beliau amat tertarik dengan idea operasi Malakat Grocer iaitu gabungan kedai Aceh yang dinaik taraf beserta dengan konsep seperti Family Mart dan Speedmart.

“Sebenarnya saya tiada pengalaman dalam bidang ni, tetapi selepas mengikuti secara dekat operasi Malakat Mall dan Malakat Grocer sejak pembukaannya, minat itu timbul.

“Saya mengikuti secara dekat setiap perancangan Coach Fadzil dan saya juga telah menjadi ahli Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) sejak April lalu,” katanya.

Ketika ditanya lokasi Malakat Grocer yang akan dibuka nanti, Khairul Anwar berkata, beliau merancang untuk membuka Malakat Grocer di Alam Damai atau Bandar Tun Hussein Onn di Cheras.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here