Sewa lesen kepada warga asing, pelesen berdepan senarai hitam – DBKL

0
315
Anggota DBKL melakukan serbuan di premis perniagaan yang diurus oleh pekerja warga asing di sekitar Selayang, Selangor.

KUALA LUMPUR: Pelesen yang didapati masih berdegil melakukan salah guna termasuk menyewa lesen perniagaan kepada warga asing bakal berdepan tindakan ‘mandatori’ oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL dalam kenyataannya berkata, tindakan tegas termasuk sita, pembatalan lesen dan penamatan kontrak perjanjian itu akan dikenakan kepada pelesen yang menggaji atau membenarkan perniagaan mereka diurus oleh warga asing.

“DBKL selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dipertanggungjawabkan dalam urusan pentadbiran lesen perniagaan di Kuala Lumpur akan mengambil tindakan tegas terhadap pelesen yang menyalah guna atau menyewakan lesen kepada warga asing.

“Pelesen-pelesen di sekitar Kuala Lumpur termasuk di Pasar Harian Selayang tertakluk kepada peruntukan Undang-Undang Kecil Pasar (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016,” menurut kenyataan itu.

Gambar hiasan

DBKL menambah, pelesen yang gagal mematuhi peraturan itu juga akan disenarai hitam daripada memohon lesen baharu.

“Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Jabatan Intergriti DBKL (JIT) sentiasa memantau dengan rapi isu-isu yang melibatkan penyalahgunaan kuasa ke atas semua pihak yang terlibat,” jelas kenyataan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini menegaskan PBT itu kekal dengan pendirian tidak membenarkan pengambilan pekerja warga asing di Pasar Borong Selayang walaupun ada pihak yang mengemukakan surat rayuan bagi tujuan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here