Singapura antara terawal terima Pfizer-BioNTech

0
108
Lee Hsien Loong

CYBERJAYA – Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 yang dibangunkan gergasi farmasi Amerika Syarikat, Pfizer dan firma Jerman BioNTech.

Serentak dengan itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan penghantaran pertama kelompok vaksin berkenaan yang dijangka tiba pada hujung bulan ini.

Perolehan itu menjadikan Singapura sebagai antara negara pertama di dunia yang menerima vaksin keluaran syarikat berkenaan.

Hsien Loong berkata, HSA telah meneliti bukti saintifik dan data percubaan klinikal bagi vaksin Pfizer-BioNTech.

Katanya, selain vaksin itu, Singapura turut membawa masuk beberapa vaksin lain yang akan tiba dalam beberapa bulan akan datang.

Gambar hiasan

“Kita akan mempunyai vaksin yang mencukupi untuk semua rakyat negara ini pada suku pertama tahun depan sekiranya semua berjalan mengikut perancangan,” katanya dalam siaran televisyen negara itu semalam.

Sementara itu katanya, kementerian kesihatan Singapura telah menubuhkan sebuah jawatankuasa doktor dan pakar bagi mengesyorkan strategi program vaksinasi.

“Jawatankuasa itu telah memutuskan bahawa semua warga dewasa akan diberikan vaksin atas persetujuan sukarela,” katanya.

Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang paling berisiko, seperti pekerja barisan depan, pekerja kesihatan dan warga tua yang berisiko.

“Setelah itu, jawatankuasa mengusulkan untuk melakukan vaksinasi secara beransur-ansur kepada seluruh penduduk dan menyediakan vaksin kepada mereka yang mahukan vaksin pada akhir tahun depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here