Tidak timbul soal PM alami defisit kepercayaan

0
123


CYBERJAYA – Tiada keperluan untuk usul percaya dan tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didahulukan dalam Aturan Mesyuarat di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia kerana tidak timbul soal Perdana Menteri kini mengalami defisit kepercayaan.

Katanya, pandangan itu berdasarkan dua senario, iaitu bagaimana Muhyiddin memperoleh sokongan 114 Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac, 2020.

“Senario kedua ialah, kelulusan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 pada 26 Nov lalu yang menunjukkan Perdana Menteri masih mempunyai sokongan mencukupi.

 “Oleh itu, tidak timbul langsung soal kononnya ada kekurangan atau kehilangan sokongan majoriti terhadap Yang Amat Berhormat Pagoh.

“Namun, bukan menjadi satu halangan kepada mana-mana pihak untuk kemukakan apa jua bentuk yang menunjukkan sokongan kepada mana mana Ahli Dewan Rakyat, untuk menjadi seorang Perdana Menteri, mungkin Perdana Menteri kesembilan.

“Kita di pihak kerajaan sentiasa terbuka. Sekiranya ada mana-mana Ahli Parlimen boleh mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong, melebihi 112 sokongan, maka kita akur kepada proses demokrasi dalam negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang).

Terdahulu, Hassan meminta menyatakan bilakah 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan dibentangkan, dibahaskan dan diundi di Dewan Rakyat.

Mengenai usul undi percaya dan tidak percaya, Takiyuddin berkata, walaupun usul itu telah dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 26 (1) dan 27 (3), ia masih tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 14 dan 15.

“Memandangkan tidak ada langsung bentuk yang menggambarkan YAB Pagoh hilang kepercayaan, kerajaan berpandangan, usul tidak percaya dan usul percaya merupakan usul yang melibatkan sesuatu yang tertentu dan kepentingan orang ramai,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here