
BANGI – Ugutan bunuh yang diterima Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay membuktikan isu kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih belum selesai walaupun pentadbiran negara sudah bertukar tangan.
Pengerusi Amal Sejagat Malaysia, Cikgu Izzat Johari berkata, tindakan yang keterlaluan itu mencetuskan persoalanan mengenai keseriusan kerajaan dalam tindakan memerangi pengganas seperti LTTE yang dianggap bersifat ‘bermusim’.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa malu apabila seorang Ketua Polis Negeri yang saya sifatkan sebagai ‘SuperCop’, Datuk Ayob Khan diugut oleh pengganas LTTE.
“Jika isu pengganas seperti LTTE tidak dibendung atau diatasi segera, ianya akan memberi kesan negatif malah akan membuatkan seluruh rakyat tidak tenteram dan terus dibelenggu rasa takut.
“Apa tidaknya, seorang penjawat awam iaitu anggota bomba yang meninggal dunia akibat rusuhan di kuil Subang Jaya dua tahun lalu, arwah Adib, sehingga hari ini tidak mendapat pembelaan,” katanya memetik laporan Ismaweb.net hari ini.
Minggu lalu, Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau menerima ugutan terbaharu daripada anggota LTTE dari Selangor yang mahu membunuhnya.
Mengulas lanjut, Cikgu Izzat yang juga Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, kerajaan perlu lebih serius dalam usaha mengekang aktiviti pengganas di negara ini.