[VIDEO] ATM gagalkan cubaan 13 PATI masuki Malaysia

0
119
GAMBAR IHSAN ATM

CYBERJAYA – Gabungan teknologi dan kecekapan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mematahkan cubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada memasuki Malaysia secara haram, awal pagi tadi.

Menurut Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), seramai 13 PATI yang baru tiba dari negara jiran berjaya ditahan dalam satu operasi di kawasan Kuari Batu di Pantai Kampung Tanjung Che Lahom di Teluk Ramunia, Johor pada pukul 1.40 pagi tadi.

ATM gagalkan cubaan 13 PATI masuki Malaysia

“Susulan maklumat perisikan dan operasi pengintipan, markas telah menggerakkan tim gerakcepat (QRF) bersama tim dron dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bersama Pegawai Perhubungan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengepung kawasan berkenaan.

“Serbuan yang dilakukan berjaya menemui 13 PATI yang sedang bersembunyi,” kata kenyataan tersebut.

Kata kenyataan itu lagi, cubaan penyusupan itu berlaku di sektor Op Benteng yang menjadi kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 9 lelaki dan 4 perempuan, berusia sekitar 21 hingga 47 tahun.

Pihak ATM turut merampas sejumlah wang tunai, telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM34,619.99.

Kesemua PATI tersebut kemudiannya dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here