Vietnam mulakan suntikan vaksin sendiri

0
179
Petugas kesihatan memberikan suntikan vaksin Nanocovax yang dibangunkan Vietnam kepada kumpulan sukarelawan pertama di Hanoi.

HANOI – Vietnam memulakan suntikan vaksin Covid-19 yang dibangunkan sendiri, Nanocovax pada tiga sukarelawan pertamanya, Sabtu lalu. 

Bagi fasa pertama ujian klinikalnya, seramai 60 orang berusia 18 hingga 60 tahun dipilih untuk menerima vaksin yang dibangunkan oleh Nanogen Pharmaceutical Biotechnology JSC dan Universiti Perubatan Tentera Vietnam itu.

Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan yang masing-masing menerima tiga dos 25 mcg, 50 mcg dan 75 mcg. 

Bagi pengambilan vaksinasi tersebut, suntikan dilakukan sebanyak dua kali iaitu selang 28 hari.

Timbalan Pengarah Universiti Perubatan Tentera, Mejar Jeneral Hoang Van Luong berkata, mereka yang telah mengambil suntikan akan menjalani pemantauan kesihatan di universiti berkenaan.

“Setelah suntikan itu, kesemua 20 sukarelawan dalam kumpulan itu berada dalam keadaan stabil tanpa tanda-tanda tidak normal. 

“Fasa pertama dijadualkan berakhir selepas sebulan setengah yang mana universiti akan memilih sukarelawan seterusnya untuk kelompok kedua yang dijadualkan bermula pada bulan Mac 2021,’’ katanya memetik laporan Vietnam News.

Para sukarelawan akan menjalani pemantauan perubatan selama enam bulan dari hari pertama mereka diberi suntikan.

Bagi tujuan itu juga, Nanogen Pharmaceutical Biotechnology JSC dilaporkan telah membelanjakan kira-kira AS$865,946 untuk membeli pakej insurans kesihatan untuk para sukarelawan.

Selain Nanocovax, Vietnam turut menerima beberapa vaksin Covid-19 lain yang dikembangkan oleh Vabiotech, Polyvac dan Institut Vaksin dan Biologi Perubatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here