Zoo Negara dibuka semula bermula hari ini

0
128
Zoo Negara yang kini dibuka semula kepada pelawat.

KUALA LUMPUR – Selepas kira-kira dua bulan ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Zoo Negara kini dibuka semula dengan jumlah pelawat dihadkan sehingga 1,250 orang sahaja bagi satu-satu masa.

Zoo Negara dalam satu kenyataan berkata, kawalan jumlah pelawat itu dilakukan sebagai langkah mengekang risiko jangkitan Covid-19 dan pemantauan amalan berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Zoo Negara mengikuti perkembangan semasa Covid-19 dalam negara. Berdasarkan penilaian semasa, Zoo Negara dibuka mengikut jadual ditetapkan dengan jumlah pengunjung dikurangkan kepada 1,250 orang pada waktu ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai program dan aktiviti di situ boleh berkunjung ke laman web atau media sosial Zoo Negara.

Zoo Negara sebelum ini berdepan dengan masalah kewangan selepas tidak beroperasi ekoran pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 14 Oktober lalu.

Situasi itu menyebabkan tabung kecemasan Zoo Negara hanya mampu bertahan sekitar tiga bulan untuk menampung kos operasi termasuk gaji kakitangan.

Susulan itu, Timbalan Presidennya Rosly @ Rahmat Ahmat memohon supaya Zoo Negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKPB yang mana pihaknya mengemukakan cadangan dan prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk penelitian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here