Mangsa karam di Kuala Abai ditemukan

0
64
Mayat nelayan yang ditemui terdampar di Kampung Kuala Abai, Sabah pagi tadi. Foto- Maritim Malaysia

KOTA BELUD – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah menemukan mayat nelayan yang dipercayai karam di perairan Kuala Abai, di sini awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, mangsa yang dikenali sebagai Nojan Sitong ditemui terdampar di pantai Kampung Kuala Abai oleh penduduk yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (carilamat) agensi itu.

Beliau berkata, Sub Pusat Penyelamat Maritim mengaktifkan operasi carilamat pada 12.00 tengahari semalam selepas menerima maklumat berkenaan sebuah bot gentian kaca dinaiki mangsa bersama adiknya karam dipukul ombak.

Dalam kejadian itu, adik mangsa, Norzeli, 35, berjaya menyelamatkan diri selepas berenang ke kawasan pantai dan membuat aduan.

“Mayat mangsa dibawa ke rumah beliau sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk bedah siasat. Operasi carilamat ditamatkan pada jam 8.45 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat mangsa di rumah sebelum dibawa untuk bedah siasat. Foto- Maritim Malaysia

Dalam perkembangan lain, operasi carilamat mangsa bot nelayan tempatan yang karam di Pulau Segama, Sandakan pada 15 Januari lalu ditamatkan jam 6.30 petang semalam tanpa penemuan sebarang petunjuk.

“Aset -aset yang beroperasi secara rutin harian akan melakukan pemantauan berterusan di lokasi kejadian. Pencarian mangsa yang memasuki hari keempat semalam,” katanya.

Mohd Rosli berkata, keluasan sektor pencarian kini telah merangkumi keluasan 754 batu nautika persegi dengan penglibatan sembilan aset dari pelbagai agensi serta jabatan.

“Maritim Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam (JPM) serta semua yang terlibat sepanjang operasi Carilamat dijalankan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia turut mengingatkan orang ramai melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau bencana di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan di talian 088-387774 atau talian MERS 999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here