1 daripada 20 pelajar Tingkatan 4 dikesan pembawa Talasemia

0
138
Dr Adham Baba

PUTRAJAYA – Dianggarkan lima peratus daripada 10,000 pelajar dikesan sebagai pembawa Talasemia berdasarkan saringan dan ujian dilakukan kerajaan terhadap pelajar Tingkatan 4 di negara ini sejak 2016.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, seramai 31,716 pelajar daripada 729,994 pelajar Tingkatan 4 yang disaring sejak 5 tahun lalu dikesan sebagai pembawa Talasemia

“Jumlah itu membawa maksud seramai 464 orang dalam 10,000 pelajar Tingkatan 4 yang disaring adalah pembawa talasemia yang bersamaan lima peratus atau nisbah seorang dalam setiap 20 orang yang disaring,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata dalam ucapan sempena majlis pelancaran Kempen Kesedaran Talasemia ‘nowyouseeme’ 2021 secara maya yang turut disertai oleh Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahya dan Pengarah Repsol Malaysia, Pablo Ortola Martinez

Menurut Dr. Adham, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperkenalkan saringan Talasemia bagi pelajar Tingkatan 4 di sekolah sejak 2016 dan menurut laporan Malaysia Thalassaemia Registry, seramai 8,681 pesakit didaftarkan sehingga 28 November 2018.

“Seramai 7,240 pesakit masih hidup dan sedang menerima rawatan manakala 130 pesakit telah sembuh dengan rawatan sel stem ,” katanya.

Menurutnya, memandangkan kos rawatan Talasemia memakan kos yang tinggi, maka usaha pencegahan mesti dilaksanakan bagi memastikan bilangan pesakit Talasemia baharu berkurangan.

Selain itu, Dr Adham berkata, pesakit Talasemia diminta memainkan peranan sebagai agen perubahan dengan mendidik ahli keluarga terdekat mengenai kepentingan menjalani ujian saringan dan seterusnya memelihara keturunan mereka.

“Bagi mereka yang telah disahkan sebagai pembawa talasemia, sebaik-baiknya pilihlah bakal pasangan hidup dalam kalangan mereka yang tidak membawa baka penyakit ini, bagi mengurangkan risiko mereka daripada mendapat zuriat yang menghidap talasemia.

“Sudah tiba masa untuk pesakit talasemia menyatakan sejarah kesihatan kepada bakal pasangan hidup. Jadilah masyarakat yang mempunyai kesedaran kesihatan yang tinggi, supaya anda mampu untuk membuat ‘informed choice’,” katanya.

Kempen Talasemia ‘nowyouseeme’ 2021 yang dijalankan sepanjang tahun adalah usaha bersama KKM, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Repsol.

Kerjasama yang bermula sejak 2018 itu bertujuan menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran orang awam dan murid sekolah tentang penyakit talasemia serta kepentingan mengetahui status masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here