3 daerah di Johor dilanda banjir

0
445

JOHOR BAHRU – Hujan lebat sejak semalam di negeri ini menyebabkan tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kluang dan Kota Tinggi dilanda banjir.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, R. Vidyananthan, sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 348 mangsa banjir daripada 87 keluarga telah dipindahkan setelah kediaman mereka dinaiki air.

Beliau berkata, punca banjir melanda negeri ini berpunca daripada hujan sederhana lebat yang berpanjangan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

“Dua PPS yang dibuka di Johor Bahru ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, Skudai dan Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai yang dibuka sejak semalam.

“PPS di Kluang melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Ping Ming manakala dua PPS di Kota Tinggi dibuka di SK Telok Ramunia dan Dewan Seri Delima, Kampung Sungai Telor.

“Ketiga-tiga penempatan ini dibuka sejak pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seramai 185 mangsa banjir dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat ditempatkan di Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru manakala 90 mangsa dari Kampung Laut Batu 10 dipindahkan ke SK Batu 10.

Katanya, 30 penduduk Kampung Bukit Raja, Pengerang yang terjejas bencana banjir dipindahkan ke SK Telok Ramunia dan 20 penduduk Kampung Sungai Telor ditempatkan ke Dewan Seri Delima di kampung itu manakala SJKC Ping Ming pula dibuka bagi menempatkan 23 mangsa daripada Kampung Yap Tau Sah.

Sementara itu, beberapa gambar dan video yang tular di media sosial menunjukkan air naik tinggi di beberapa kawasan.

Antara turut terjejas ialah kawasan di tengah-tengah bandar Johor Bahru.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here