4 beradik larikan jenazah bapa disiasat Covid-19

0
174
Gambar hiasan

LAHAD DATU – Polis menahan empat adik-beradik yang melarikan jenazah bapa mereka untuk mengelakkan pihak hospital menjalankan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 terhadap si mati.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, keempat beradik berusia antara 26 hingga 31 tahun itu ditahan selepas polis menerima aduan daripada pembantu perubatan di Hospital Lahad Datu.

Beliau berkata, lelaki berusia 58 tahun yang meninggal dunia di hospital berkenaan sebelum ini diletakkan dalam kategori Pesakit di bawah Siasatan (PUI).

“Ketika di hospital, pasukan perubatan sempat memberikan pertolongan cemas pernafasan (CPR) selama 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia.

“Petugas perubatan kemudiannya memberi penerangan kepada ahli keluarga berhubung SOP pengurusan jenazah ketika krisis wabak Covid-19 dan keperluan menjalani ujian saringan bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rohan berkata, waris bagaimanapun tidak mahu jenazah ditahan di bilik mayat dan bertindak melarikan jenazah dari khemah zon PUI dan membawa balik ke rumah.

“Berikutan itu, polis menahan keempat-empat suspek melibatkan seorang wanita dan tiga lelaki pada 11.30 malam.

“Jenazah berkenaan turut ditemui pasukan serbuan di ruang tamu di rumah perkampungan atas air berkenaan,” katanya.

Rohan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara selama dua tahun atas kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here