4 terkorban dalam rusuhan penyokong Trump di DC

0
95
Polis berusaha menyekat kumpulan penyokong Trump yang merusuh di Capitol Amerika Syarikat.

WASHINGTON – Rusuhan penyokong Presiden Donald Trump di Capitol Amerika Syarikat meragut sekurang-kurangnya 4 nyawa, mencederakan puluhan anggota polis dan perusuh.

Ketua Polis D.C, Robert Contee berkata, salah seorang daripada mangsa yang terkorban adalah seorang wanita yang ditembak oleh pegawai polis berpakaian biasa.

Tanpa memberikan penerangan lanjut, Contee berkata, tiga lagi mangsa yang terkorban dalam rusuhan itu adalah seorang wanita dan dua lelaki.

“Ini kejadian yang tragis dan saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa,” tambahnya memetik laporan Agensi Anadolu.

Contee berkata, kejadian itu mencederakan sekurang-kurangnya 14 anggota polis termasuk seorang yang cedera parah.

Katanya, sebanyak 52 orang ditahan dan polis turut menemui sebutir bom buatan dan senjata api sendiri di Bangunan Jawatankuasa Demokratik dan di Bangunan Jawatankuasa Republik.

Sementara itu, beberapa pegawai pentadbiran Trump mengumumkan peletak jawatan susulan insiden itu antaranya bekas setiausaha akhbar Rumah Putih dan ketua staf Melania Trump, Stephanie Grisham.

“Saya gembira berkhidmat untuk negara di @WhiteHouse. Saya sangat berbangga menjadi sebahagian daripada misi @FLOTUS @MELANIATRUMP membantu kanak-kanak di mana sahaja, & bangga dengan banyak pencapaian pentadbiran ini. Log keluar sekarang – anda boleh cari saya di @OMGrisham, ” tulisnya di Twitter.

Polis menyekat kumpulan penyokong Trump yang merusuh.

Disusuli Timbalan Setiausaha Rumah Putih Sarah Matthews, yang melepaskan jawatan berkuat kuasa serta-merta, sebagai tindak balas terhadap kejadian di Kongres.

“Sebagai individu yang bekerja di dewan Kongres, saya sangat terganggu dengan kejadian hari ini. Saya akan mengundurkan diri dari jawatan ini, dengan segera. Negara kita memerlukan peralihan kuasa secara aman,” katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha Sosial Rumah Putih Rickie Niceta turut mengambil langkah sama.

Tindakan itu diambil selepas ratusan penyokong pro-Trump menyerbu Kongres ketika ahli parlimen mengira undi pilihan raya untuk mengesahkan kemenangan Joe Biden.

Sejak pilihan raya presiden 3 November, Trump menolak mengakui kekalahannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here