40 jemaah untuk solat Jumaat di Terengganu

0
108
Hanya 40 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat bermula esok

KUALA TERENGGANU – Bermula esok, solat Jumaat di Terengganu hanya dibenarkan untuk 40 jemaah sahaja yang terdiri dalam kalangan anak mukim.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, untuk solat fardu pula tidak melebihi 12 individu.

“Untuk solat Jumaat, 40 jemaah itu tidak termasuk imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid dan mana-mana individu yang diberi kebenaran oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

“Pelaksanaan solar fardu secara berjemaah di masjid dan surau pula dibenarkan kepada imam, bilal, ahli jawatankuasa masjid dengan bilangan tidak melebihi 12 individu.

“Sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain termasuk kuliah Maghrib, Subuh dan Dhuha adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.

“Jawatankuasa masjid dan surau diarahkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Osman, perkara berkenaan telah mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum dihebahkan kepada orang ramai.

Tegasnya, semua Pegawai Agama Daerah (PAD) diarah untuk membuat pemantauan secara serius bagi memastikan semua masjid dan surau mematuhi SOP ditetapkan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sultan Mizan juga menitahkan supaya rakyat tidak alpa dan sentiasa berwaspada dengan penularan pandemik Covid-19, yang semakin meningkat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here