6 pengawal warga Bangladesh ditahan pukul orang

0
2797
Tangkap layar enam pengawal keselamatan bergaduh dengan lelaki tempatan yang tersebar di Facebook sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.

ALOR STAR – Enam pengawal keselamatan warga Bangladesh sebuah kompleks beli belah di sini ditahan selepas dipercayai terbabit memukul seorang lelaki tempatan dalam satu kejadian semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua itu yang ditahan berusia antara 26 hingga 41 tahun ditahan selepas mangsa berusia 34 tahun membuat laporan polis.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 3 petang, mangsa dikatakan meletak motosikalnya di hadapan kompleks beli belah itu.

“Bagaimanapun, mangsa didatangi seorang pengawal keselamatan terbabit dan memarahi lelaki itu kerana tidak meletakkan motosikal di tempat yang disediakan.

“Lelaki itu memberitahu dia hanya parkir di situ kerana menunggu ibunya mengambil barang di tingkat atas kompleks berkenaan. Namun, tiba-tiba pengawal keselamatan itu memaki mangsa menyebabkan mangsa menolak pengawal keselamatan itu ke belakang,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Ahmad Shukri berkata, pengawal keselamatan terbabit kemudian memanggil beberapa rakan sekerjanya antara lima hingga enam orang.

Beliau berkata, mereka kemudian menarik mangsa memasuki satu bilik dan memukul pengadu termasuk menggunakan kayu penyapu.

“Berikutan itu pengadu mengalami sakit pada anggota badan dan datang balai buat laporan. Bagaimanapun pengurus pengawal keselamatan terbabit turut membuat laporan polis memaklumkan pekerjanya diserang,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini tular di media sosial pergaduhan antara pengawal keselamatan dan seorang lelaki tempatan di hadapan sebuah pusat beli belah.

Pergaduhan tersebut turut mecetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai terutamanya apabila warga Bangladesh dibenarkan bertugas sebagai pengawal keselamatan oleh pengurusan pusat beli belah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here