7 lelaki lakukan provokasi terhadap polis direman 3 hari

0
54
Salah seorang suspek yang ditahan polis semalam

GEORGETOWN – Tujuh lelaki direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung provokasi susulan kemalangan membabitkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang berlanggar dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, di sini, kelmarin.

Perintah reman tersebut yang bermula hari ini sehingga 21 Januari itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi.

Memetik laporan Berita Harian, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah.

Semua lelaki terbabit turut disiasat mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Semalam polis menahan kesemua suspek berkenaan di sekitar Jalan Patani dan Tanjung Tokong di sini.

Dua orang suspek didapati masing-masing memiliki lima dan tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan hasil ujian saringan air kecing mendapati dua orang suspek positif dadah jenis THC (ganja).

Dalam kejadian itu video dan gambar insiden itu turut tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai komen daripada warganet.

Sehubungan itu, polis turut menyiasat hantaran di dalam media sosial (Facebook dan WhatsApp) yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here