Ahli Parlimen Machang dari BN tarik sokongan kepada PN

0
489
Datuk Nur Jazlan Yaacob mengadakan sidang akhbar di di ibu pejabat UMNO Kelantan hari ini

KOTA BHARU- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Nur Jazlan Yaacob membuat keputusan mengejutkan dengan mengumumkan menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, surat makluman tindakan itu akan dihantar kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan segera.

“Sebanyak 12 daripada 14 bahagian (UMNO) meminta saya mempertimbangkan agar menarik balik sokongan kepada kerajaan PN yang ditunjangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana Perdana Menteri daripada parti itu.

“Pada hemat kami, kerajaan yang ada hari ini tidak berupaya mengurus tadbir negara dengan baik dan tak berjaya laksanakan amanah yang diberikan dengan seadilnya,” katanya seperti dipetik laporan Berita Harian di ibu pejabat UMNO Kelantan.

Ahmad Jazlan mendakwa, antara kegagalan kerajaan PN mentadbir adalah berkenaan moratorium dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilihat tidak mencapai matlamat sebenar, termasuk kegagalan mengurus isu pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, beliau mengakui, keputusan yang dibuatnya pasti menimbulkan pelbagai reaksi, namun mendakwa ia sekadar mempertahankan prinsipnya dan maruah UMNO yang bukannya berdasarkan kepentingan peribadi.

Tangkap layar daripada laman Twitter Nur Jazlan

“Saya bukan orang pertama tidak menyokong kerajaan hari ini tapi kedua di Kelantan dan Malaysia, selepas Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang).

“Saya Ahli Parlimen BN dan masih menganggotai UMNO, tak payah bising-bising, Ku Li sudah membuat keputusan awal, bukan saya orang pertama,” katanya.

Awal bulan ini, Ahmad Jazlan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Pada 15 Disember lalu, seramai 111 Ahli Parlimen menyokong meluluskan Belanjawan 2021 dalam Dewan Rakyat, manakala 108 menolaknya dan seorang tidak hadir.

Ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen, berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan dan Gerik.

Meskipun hanya ditunjangi 110 Ahli Parlimen, kerajaan PN masih dianggap berdiri disebabkan faktor perpecahan dalam blok pembangkang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here