Anonymous Malaysia berdepan hukuman penjara seumur hidup

0
255

KUALA LUMPUR – Tindakan penggodaman dengan niat untuk mensabotaj sistem keselamatan negara boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan penjara sehingga 15 tahun.

Anonymous Malaysia dalam satu video yang tular kelmarin mendakwa maklumat 46 juta pengguna syarikat telekomunikasi di negara ini diceroboh dan dijual kepada pihak ketiga.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, walaupun pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai aktiviti itu terhadap laman web kerajaan, pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia sentiasa membuat pemantauan bagi membendung kegiatan seumpama itu.

“Sekiranya terdapat laporan polis berkenaan kegiatan sebegini (menggodam), siasatan juga boleh dilaksanakan di bawah Seksyen 4 atau Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya,” katanya memetik Bernama hari ini.

Zainuddin berkata demikian bagi mengulas amaran kumpulan Anonymous Malaysia yang mengancam melakukan serangan siber secara besar-besaran terhadap laman web dan aset digital kerajaan kelmarin.

Kumpulan penggodam itu membuat ancaman menerusi satu klip video yang tular di platform media sosial baru-baru ini.

Antara dakwaan Anonymous Malaysia ialah sistem keselamatan Malaysia berada pada tahap rendah menyebabkan maklumat pengguna syarikat telekomunikasi di negara ini mudah digodam dan dijual kepada pihak ketiga.

Anonynous Malaysia mendakwa, lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi di negara ini telah digodam pada 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here